Thursday, December 30, 2010

WANITA, HAID DAN AL-QURAN


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI PENYAYANG


I. HUKUM MEMBACA AL-QURAN
Ulamak bersepakat bahawa wanita haid harus berzikir dengan beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan lain-lain. Adapun membaca (tilawah) al-Quran, mereka berbeza pandangan.
Imam Abu Hanifah, Ahmad dan asy-Syafi’iy di dalam salah satu riwayat darinya berpendapat haram bagi wanita haid membaca al-Quran. Dalil mereka:
1. Hadis yang diriwayat dari Ibn Umar RA dari Nabi SAW, baginda telah bersabda maksudnya: “Orang yang berjunub dan wanita haid tidak harus membaca sedikitpun daripada al-Quran”. Riwayat Abu Daud, al-Tirzimi dan Ibn Majah.
2. Qias kepada orang yang berjunub. Kebanyakan ulamak berpendapat orang yang berjunub haram membaca al-Quran berdasarkan apa yang diriwayat oleh Ali RA, beliau berkata maksudnya: ”Rasulullah SAW keluar selepas menunaikan hajatnya (hadas kecil), lalu membaca al-Quran dan makan daging bersama dengan kami. Tiada suatupun yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali junub”. Menurut riwayat al-Tirmizi : ”Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada kami dalam semua keadaan selagi mana baginda tidak dalam keadaan junub”. Mereka berkata, junub adalah hadas. Haid pula lebih besar hadasnya kerana wanita yang datang haid tidak boleh berpuasa selagi darah tidak berhenti. Sedangkan orang yang berjunub boleh berpuasa. Wanita haid juga tidak boleh menunaikan solat dan tidak boleh disetubuhi. Maka apa yang tidak harus dilakukan oleh orang yang berjunub kerana hadasnya, orang yang didatangi haid lebih-lebih lagi tidak harus.
Imam Malik, berpendapat orang yang didatangi haid tidak haram membaca al-Quran tetapi haram bagi orang yang berjunub. Alasannya ialah hari-hari haid adalah lama. Sekiranya wanita haid ditegah membaca al-Quran kita bimbang ia akan lupa. Salah satu riwayat dari Imam asy-Syafi’iy dan satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat tidak haram. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Imam Ibn Taimiyah. Beliau telah mengemukakan beberapa dalil. Anataranya:
1. Tidak ada satu dalil pun, sama ada al-Quran atau as-Sunnah yang menegah wanita haid membaca al-Quran. Hadis yang diriwayatkan dari Ibn Umar adalah tidak sahih di sisi semua ahli Hadis kerana Hadis tersebut diriwayatkan oleh Ismail bin ’Iyasy dari Musa bin ’Uqbah dari Nafi’ dari Ibn Umar. Hadis-hadis Ismail dari Ahli Hijaz banyak berlaku kesilapan.
2. Ramai wanita yang datang haid pada zaman Nabi SAW. Sekiranya haram bagi mereka membaca al-Quran seperti solat tentulah Nabi SAW akan menerangkannya kepada umatnya serta diajar oleh Ummahat al-Mukminin dan perkara ini pastinya diketahui oleh ramai orang. Oleh kerana tiada larangan, sedangkan kedatangan haid seringkali berlaku ketika hayat baginda, nyatalah ia tidak haram.
Imam al-Bukhariy berkata: menurut pendapat Ibrahim, tidak mengapa wanita haid membaca al-Quran. Beliau juga berpendapat orang berjunub juga tidak mengapa membaca al-Quran. Sesungguhnya Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan. Ummu ’Atiyyah berkata: ”Kami diperintahkan membawa wanita haid keluar (ke tempat solat hari raya). Mereka ikut bertakbir dan berdoa dengan para jamaah”. Imam Ibn Hajar mengulas kata-kata al-Bukhari di atas bahawa maksud al-Bukhari ialah haid dan janabah (junub) tidak menghalang ibadah dan sah bagi mereka beberapa ibadah badaniyah seperti zikir dan lain-lain. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu zikir, maka ia adalah sama dengan zikir yang lain. Sekiranya membaca al-Quran itu ta’abbud, maka ia memerlukan dalil khusus mengenainya. Tetapi tidak ada satu Hadis pun yang sahih (di sisi Imam al-Bukhariy) mengenai larangan membacanya ketika haid dan junub. Meskipun terdapat Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh pihak lain, kebanyakan Hadis-hadis itu boleh diberbahaskan atau boleh ditakwil. Lantaran itu Imam al-Bukhariy dan Imam-imam lain seperti at-Tobariy, Ibn al-Munzir dan Daud az-Zohiriy yang berpendapat harus membacanya berpegang kepada Hadis yang bermaksud: ”Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”. Zikir adalah umum, meliputi membaca al-Quran dan lain-lain. Hanya uruf sahaja yang membezakannya.

II. HUKUM MENYENTUH KITAB SUCI AL-QURAN

Jumhur berpendapat wanita haid dan orang yang berjunub tidak harus menyentuh al-Quran dan membawanya. Dalil mereka ialah:
1. Firman Allah SWT bermaksud:
”Bahawa sesungguhnya itulah Al-Qur'an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. Al-Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” [Al-Waqi’ah : 77-80]
Imam an-Nawawiy berkata, di dalam ayat di atas Allah SWT menyifatkan ’Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam’. Ini jelas menunjukkan ia merujuk mushaf yang ada pada kita, bukan yang berada di Luh Mahfuz.
2 Hadis yang diriwayat dari Abi Bakr bin Muhammad bin ’Amru bin Hazm dari ayahnya dari datuknya, bahawa Nabi SAW telah menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Antara kandungan surat itu tertulis: ”Tidak menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci”. Riwayat al-Athram dan ad-Daruqutniy.
Ketika mengulas Hadis ini, Imam asy-Syaukaniy berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa mushaf tidak boleh disentuk kecuali orang yang suci. Tetapi ungkapan orang yang suci mengandungi banyak makna. Kadang-kadang ungkapan itu bermaksud orang yang beriman seperti firmanNya yang bermaksud: ” Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya orang musyrik itu najis,.......” [At-Taubah : 28] Di dalam sepotong Hadis Nabi SAW berkata kepada Abu Hurairah maksudnya: ”Mukmin itu tidak najis”.
Makna lain bagi ungkapan orang yang suci ialah orang yang tidak berhadas sama ada hadas kecil atau hadas besar dan orang yang di badannya tiada najis sama ada najis hissiy (najis yang nyata) atau najis hukmiy (najis yang tidak nyata). Ungkapan yang mengandungi pelbagai pengertian tidak boleh diputuskan pengertian mana yang mesti dipegang tanpa dalil lain yang menyokongnya. Dalam bab ini telah berlaku persepakatan ulamak bahawa tidak harus bagi mereka yang berhadas besar menyentuh al-Quran. Yang tidak selari dengan persepakatan ini hanyalah Daud az-Zohiriy.
Walaubagaimana pun ulamak Mazhab Malikiy mengecualikan guru dan pelajar. Mereka berkata harus bagi guru dan pelajar menyentuh dan membawa al-Quran. Ulamak Mazhab Hanafiy berkata harus menyentuh al-Quran yang diletak di dalam sarungnya.

Dipetik dari

zaadut-taqwa.blogspot.com

Wednesday, December 22, 2010

AURAT WANITA ISLAM

Aurat adalah bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. Aurat wanita adalah berbeza apabila bertemu beberapa kumpulan berikut:

1 Wanita Islam

Auratnya adalah antara pusat dan lutut

2 Mahram lelaki

Mahram adalah orang yang diharamkan berkahwin dengannya.

Mereka adalah:

Suami

Ayah, ayah mertua dan ayah saudara

Datuk dan datuk saudara

Anak sendiri dan anak suami

Cucu dan cucu saudara

Adik beradik seibusebapa @ sebapa @ seibu @ susuan

Anak saudara

Hamba sahaya

Pelayan yang tinggal serumah dan tiada nafsu syahwat

Anak kecil yang tiada syahwat

Aurat wanita dengan golongan ini adalah seluruh tubuh kecuali apa yang biasa zahir seperti kepala, leher,muka, tangan dan kaki. Untuk suami pula seluruh tubuh adalah bukan aurat.

3. Lelaki Ajnabi

Lelaki yang halal dikahwini iaitu selain lelaki mahram

Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan adalah aurat

Dalil-dalil

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.”

[An-Nur (24):31].

Kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi saw sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].

Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya Asma’ binti Abu Bakar pernah masuk ke rumah Rasulullah saw dgn berpakaian jarang hingga nampak kulitnya. Lalu Rasulullah saw berpaling dan bersabda:

Hai Asma! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu,melainkan ini – sambil ia menunjukkan muka dan dua tapak tangannya.”

Hadis Abu Daud

Rasulullah saw melihat kaum perempuan di dalam neraka dalam pelbagai rupa azab. Di antaranya, dilihatnya perempuan yang digantung dengan rambutnya dengan otaknya menggelegak. Rasulullah menerangkan:

Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu adalah kerana dahulu (waktu di dunia) ia tidak menutup rambutnya dari pandangan lelaki ajnabi.

Menurut batas-batas ini, apa yang tidak boleh dilihat tidak boleh juga di sentuh kecuali dalam keadaan darurat seperti untuk mengubati dengan syarat tidak timbul fitnah dan tiada syahwat

4. Wanita kafir

Kebanyakan ulamak dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i berpendapat wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam sama seperti di hadapan lelaki bukan mahram. Ini berbeza dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengharuskannya.


Bagaimana pakaian menutup aurat?

Pakaian yang dikenakan seorang muslimah perlu memenuhi beberapa ciri

1 Menutup batas aurat yang ditetapkan


Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [ Al-Ahzab (33):59].

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,

Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka

[ An-Nur (24):31].

2 Pakaian hendaklah longgar

Pakaian itu janganlah sempit atau ketat hingga menampakkan bentuk tubuh

3 Pakaian janganlah nipis hingga menampakkan bayang2 tubuh dari luar atau menampakkan warna kulit.

Sabda Rasulullah saw

Sesungguhnya termasuk ahli neraka iaitu perempuan2 yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya

Hadis riwayat Muslim

4 Pakaian itu tidak menarik perhatian lelaki

5 Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki

Rasulullah saw mengutuk orang lelaki yang menyerupakan dirinya dengan wanita dan sebaliknya mengutuk wanita2 yang menyerupakan dirinya seperti lelaki.

6 Pakaian itu tidak menyerupai pakaian wanita2 kafir dan musyrik

7 Pakaian itu bukan untuk bermegah2,menunjuk2(syuhrah) atau berhias2 (bertabarruj)

Maksud pakaian syuhrah ialah pakaian yang membezakan si pemakai dari manusia lain dari segi warna, bentuk dan coraknya. Dengan sebab itu semua mata tertumpu kepadanya lalu timbul perasaan bangga dan megah di dalam hatinya.


Ibn Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah pakaikannya pakaian seumpama itu di hari qiamat, kemudian ia disambar api neraka”.

Riwayat Abu Daud

Pakaian syuhrah tidak semestinya yang mahal dan bermutu tinggi. Ia boleh jadi yang murah dan tidak bernilai. Ibn Taimiyyah berkata: ”Pakaian syuhrah yang dilarang ialah yang terlalu mahal mengatasi kebiasaan orang ramai dan yang terlalu murah atau terlalu teruk berbanding kebiasaan orang ramai.


Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur iaitu

Firman Allah,

Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kahwin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

[ An Nur(24):60]

Dari ayat ini, jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah

Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.”

[ Al-Ahzab (33):33]

Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,

Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”

Abul A’la al Maududi berkata:

“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak.

"Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina

[Hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

Penutup


Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana rutin harian atau ikut-ikutan. Setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat adalah dibenarkan tanpa menetapkan jenis atau fesyennya.

Allah berfirman:

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup 'auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Al A’raf 7:26




Wednesday, December 15, 2010

TEKNIK MENGHAFAZ

Dapatan dari pembacaan dari blog lain dan ruang sembang

Syarat yang perlu untuk senang menghafal

Niat ikhlas

Al-Quran dihafal semata-mata kerana mengharap redha Allah. Bukan pengiktirafan atau sanjungan manusia yang diharapkan.

Meminta ampun

Mensucikan diri dari dosa dengan meminta ampun secara bersungguh-sungguh, dari lubuk hati yang paling dalam. Beristighfarlah banyak-banyak sebelum memulakan hafazan. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita dan membersihkan jiwa kita.

Mohon diberi kefahaman

Ilmu itu dari Allah. Jadi mohon agar Allah permudahkan hafazan dengan memberi kita kefahaman

Mohon dikuatkan ingatan

Apa yang diingini Allah sudah pasti akan berlaku walau pada fikiran kita ia hampir mustahil. Lazimnya, lebih mudah untuk kanak-kanak dan remaja untuk menghafaz namun tidak mustahil untuk yang lebih berumur melakukannya. Ayuh semua, hatta yang sudah bergelar warga emas . Bulatkan tekad untuk mati sebagai hafiz dan hafizah.

Teknik??

Ada beberapa teknik. Kita boleh pilih yang mana sesuai dengan diri sendiri. Secara umumnya begini:

1 Pilih masa yang sesuai. Carilah waktu-waktu yang memberikan kita ketenangan. Biasanya, waktu sebelum dan selepas subuh, selepas maghrib atau sebelum tidur. Kalau para ibu yang mempunyai anak yang bersekolah pagi, selepas subuh tentu kalut nak siapkan anak-anak. Mungkin bila mereka di sekolah, keadaan lebih tenang. Kalau para pelajar bukan aliran tahfiz, mungkin sebelum tidur setelah semua kerja sekolah telah diselesaikan adalah lebih sesuai. Apapun pandai-pandailah kita cara masa.

2 Gunakan Al-Quran yang sama setiap kali. Dengan ini kita akan dapat membayangkan kedudukan ayat-ayat tertentu pada satu-satu muka surat.

3 Tentukan berapa ayat yang mahu dihafaz dalam sehari. Ini tentunya bergantung kepada kemampuan individu.

Kalau pelajar tahfiz 3 mukasurat @ lebih sehari tak jadi masalah bagi mereka.

Orang biasa2 mungkin selesa dengan target 1/3 mukasurat. Dalam Al-Quran resm Uthmani, 1 ms ada15 baris, jadi 1/3= 5 barislah.

Kalau tak mampu, 5 ayat sehari. Kalau tak mampu juga, 1 ayat pun takpe…… janji hafazan jalan. Dalam Al-Quran ada 6663 ayat. Sehari 1 ayat, dalam 18 tahun boleh selesai hafazan. Amacam??Boleh?? Tapi rasanya kalau dah biasa menghafaz tentu boleh lebih dari 1 ayat kan…!

4 Mula, baca berulang2 kali sehingga bacaan lancar. Pastikan sebutan dan hukum tajwidnya betul. Pastikan panjang pendek bacaan betul. Kalau perlu cari guru, silakan.

5 Dah lancar baru mula menghafal. Ada orang hafal beberapa ayat sekali gus. Ada orang hafal satu persatu. Mula-mula hafal ayat 1. Dah dapat, hafal ayat 2. Lepas tu baca ayat 1 dan 2. Begitulah seterusnya hingga habis yang kita sasarkan untuk hari tersebut. Jangan pindah kepada ayat2 yg baru selagi tidak kuasai ayat2 yg sedang dihafaz.

6 Untuk memudahkan hafazan, bacalah terjemahan ayat. Sekarang ni ada Al-Quran perkata, lagi mudah. Kalau dapat baca tafsir lagi bagus, dapat kita memahami ayat dengan lebih mendalam.

7 Hafazan perlu selalu diulang2, murajaah. Kalau ada orang bantu kita check bacaan baguslah. Kalau tak ada, sorang2 pun boleh. Tak guna kita hafal ayat @surah baru tapi yang lama tak lekat dalam kepala. Rugi. Hafazan perlu selalu dibaca supaya tak lupa. Bacalah dalam solat dan kalau ada cd atau mp3, selalulah dimainkan.

8 Perhatikan ayat2 yang serupa. Kadang2 pada awalnya kita baca satu surah tu tapi pada pertengahannya dah tersambung dengan surah lain kerana ada ayat yang seakan-akan serupa.

9 Dan yang paling penting……istiqamah dan bersabar. Tiada jalan mudah menuju kejayaan. Setelah melalui segala susah payah menghafaz, kejayaan yang dikecapi tentu sekali manis, di dunia dan di akhirat sana.

Ya Allah jadikanlah kami, saya dan kamu, orang2 yang di dalam dada kami terpasak Al-Quran. Amin.

Tuesday, December 14, 2010

BACA DAN HAFAL AL-QURAN

Al-Quran adalah kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw, mengandungi petunjuk bagi umat manusia, bagi mereka yang inginkan kebahagian di dunia dan akhirat.


Kelebihan Membaca Al-Quran

1 Hati akan bersinar

Rasulullah S.A.W bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar:

'Sesungguhnya hati-hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air. Seorang bertanya, apakah cara bagi menjadikan hari bersinar semula? Maka Rasulullah S.A.W bersabda, selalulah ingatkan mati dan membaca al-Quran.

2 Al-Quran akan memberi syafaat di akhirat kelak

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya” Riwayat Muslim

Sebuah hadis Nabi S.A.W diriwayatkan oleh Ibn Amir:
'Puasa dan Al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari Kiamat, puasa berkata,Ya Tuhan,aku menghalanginya dari makan dan syahwatnya disiang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran berkata, aku telah menghalanginya dari tidur malam, perkenankanlah aku memberi syafaat kepadanya, maka kedua-dua permohonan itu diterima.

3 Beroleh pahala kerana membaca al-Quran

"Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Al Qur'an maka baginya satu pahala, dan pahala itu akan dilipatgandakan sepuluh kali. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, namun Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." Riwayat At-Tirmizi


Orang yang membaca Quran, sedangkan dia mahir dengannya adalah dia bersama utusan (penulis) yang terdiri dari Malaikat yang mulia dan patuh. Dan orang yang membaca Quran sedangkan dia tergagap-gagap dan sukar,maka baginya dua pahala.
Riwayat Bukhari dan Muslim


4 Ibubapa juga mendapat keuntungan

Siapa yang membaca Al Qur'an, mempelajarinya, dan mengamalkannya, maka dipakaikan mahkota dari cahaya pada hari kiamat. Cahayanya seperti cahaya matahari dan kedua orang tuanya dipakaikan dua jubah (kemuliaan) yang tidak pernah didapatkan di dunia. Keduanya bertanya, "Mengapa kami dipakaikan jubah ini?" Dijawab,"Karena kalian berdua memerintahkan anak kalian untuk mempelajari Al Qur'an." Riwayat Al-Hakim


Kelebihan Penghafaz Al-Quran

Selain dari kelebihan yang disebut diatas, penghafaz mendapat kelebihan tambahan

1 Hati Penghafal Al-Qur’an Tidak Diseksa

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Abdullah Bin Mas’ud r.a.: “Bacalah AlQur’an kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal Al-Qur’an. Sesungguhnya Al-Quran adalah hidangan Allah, siapa yang memasukkannya dia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al-Qur’an maka hendaklah dia bergembira.”


2 Ditempatkan di Tingkat Tertinggi dalam Syurga

Sabda Rasulullah s.a.w. dari Aisyah r.a.: “Jumlah tingkat-tingkat dalam Syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al-Qur’an. Maka tingkat Syurga yang dimasuki oleh penghafal Al-Qur’an adalah tingkat yang paling atas, di mana tidak ada tingkat lagi sesudah itu”.


Dari Abdillah bin Amr bin 'Ash dari Nabi SAW, beliau bersabda, "Akan dikatakan kepada shahib Al Qur'an, "Bacalah dan naiklah serta tartilkan sebagaimana engkau dulu mentartilkan Al Qur'an di dunia, sesungguhnya kedudukanmu di akhir ayat yang kau baca." Riwayat Abu Daud dan Tirmizi

Para ulama menjelaskan erti shahib Al Qur'an adalah orang yang hafal semuanya atau sebagiannya, selalu membaca dan mentadabbur serta mengamalkan isinya dan berakhlak sesuai dengan tuntutannya.

3 Dapat Memberikan Syafaat Kepada Anggota Keluarga

Sabda Rasulullah s.a.w. danipada Ali bin Abi Thalib r.a.: “Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (hadis dhaif ?)

4 Mereka Keluarga Allah

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bersumber daripada Anas r.a. : “Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia.” Kemudian Anas bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”. Beliau menjawab: “Iaitu ahli Qur’an (orang yang membaca atau menghafal Al-Qur’an dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa di sisi Allah.”

Selain dari itu penghafal Al Qur'an juga tidak akan pikun(nyanyuk), akalnya selalu sihat ,do'anya selalu dikabulkan dan orang yang didahulukan dalam menjadi imam solat.


"Ya Allah, jadikan kami orang-orang yang mampu mengambil manfaat dari Al Qur'an dan merasa kelazatan mendengar ucapan-Nya, tunduk kepada perintah dan larangan yang terkandung didalamnya dan jadikanlah kami orang yang dapat menghafaznya. Amin