Thursday, December 9, 2010

DEKATI ALLAH DENGAN IBADAH SUNAT

Mari kita menghayati hadis riwayat lmam al-Bukhari. ini :

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman: Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan amalan- amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.

Dari hadis diatas dapat kita simpulkan:

1. Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan fardhu yang Dia fardhukan ke atas hamba-hambaNya.

2. Untuk menghampirkan diri kepadaNya, kita dianjurkan untuk melakukan perkara2 yang sunat. Seorang mukmin seharusnya hanya melakukan amalan sunat apabila dia telah membereskan amalan fardhunya terlebih dahulu.

3. Seseorang hamba boleh meningkat maqamnya di sisi Allah SWT sehingga menjadi kekasihNya dengan memperbanyakkan amalan sunat dan berterusan mengamalkannya sehingga Allah benar-benar mengasihinya.

4. Seorang wali Allah atau kekasih Allah, perbuatannya akan sentiasa terpelihara. Segala tingkah lakunya seolah-olah lahir dari Allah. Penglihatannya, pendengarannya, perbuatannya dan pergerakannya semuanya seolah-olah cernaan dari penglihatan, pendengaran, perbuatan dan pergerakan Allah SWT. Oleh kerana itu, wali Allah mesti dikasihi oleh setiap mukmin, barangsiapa yang memusuhinya, maka Allah akan mengisytiharkan perang terhadapnya.

No comments:

Post a Comment