Wednesday, December 22, 2010

AURAT WANITA ISLAM

Aurat adalah bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. Aurat wanita adalah berbeza apabila bertemu beberapa kumpulan berikut:

1 Wanita Islam

Auratnya adalah antara pusat dan lutut

2 Mahram lelaki

Mahram adalah orang yang diharamkan berkahwin dengannya.

Mereka adalah:

Suami

Ayah, ayah mertua dan ayah saudara

Datuk dan datuk saudara

Anak sendiri dan anak suami

Cucu dan cucu saudara

Adik beradik seibusebapa @ sebapa @ seibu @ susuan

Anak saudara

Hamba sahaya

Pelayan yang tinggal serumah dan tiada nafsu syahwat

Anak kecil yang tiada syahwat

Aurat wanita dengan golongan ini adalah seluruh tubuh kecuali apa yang biasa zahir seperti kepala, leher,muka, tangan dan kaki. Untuk suami pula seluruh tubuh adalah bukan aurat.

3. Lelaki Ajnabi

Lelaki yang halal dikahwini iaitu selain lelaki mahram

Seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan adalah aurat

Dalil-dalil

Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya.”

[An-Nur (24):31].

Kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi saw sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].

Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya Asma’ binti Abu Bakar pernah masuk ke rumah Rasulullah saw dgn berpakaian jarang hingga nampak kulitnya. Lalu Rasulullah saw berpaling dan bersabda:

Hai Asma! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu,melainkan ini – sambil ia menunjukkan muka dan dua tapak tangannya.”

Hadis Abu Daud

Rasulullah saw melihat kaum perempuan di dalam neraka dalam pelbagai rupa azab. Di antaranya, dilihatnya perempuan yang digantung dengan rambutnya dengan otaknya menggelegak. Rasulullah menerangkan:

Adapun perempuan yang digantung dengan rambutnya itu adalah kerana dahulu (waktu di dunia) ia tidak menutup rambutnya dari pandangan lelaki ajnabi.

Menurut batas-batas ini, apa yang tidak boleh dilihat tidak boleh juga di sentuh kecuali dalam keadaan darurat seperti untuk mengubati dengan syarat tidak timbul fitnah dan tiada syahwat

4. Wanita kafir

Kebanyakan ulamak dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’i berpendapat wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam sama seperti di hadapan lelaki bukan mahram. Ini berbeza dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal yang mengharuskannya.


Bagaimana pakaian menutup aurat?

Pakaian yang dikenakan seorang muslimah perlu memenuhi beberapa ciri

1 Menutup batas aurat yang ditetapkan


Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [ Al-Ahzab (33):59].

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah,

Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka

[ An-Nur (24):31].

2 Pakaian hendaklah longgar

Pakaian itu janganlah sempit atau ketat hingga menampakkan bentuk tubuh

3 Pakaian janganlah nipis hingga menampakkan bayang2 tubuh dari luar atau menampakkan warna kulit.

Sabda Rasulullah saw

Sesungguhnya termasuk ahli neraka iaitu perempuan2 yang berpakaian tetapi telanjang, yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya

Hadis riwayat Muslim

4 Pakaian itu tidak menarik perhatian lelaki

5 Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki

Rasulullah saw mengutuk orang lelaki yang menyerupakan dirinya dengan wanita dan sebaliknya mengutuk wanita2 yang menyerupakan dirinya seperti lelaki.

6 Pakaian itu tidak menyerupai pakaian wanita2 kafir dan musyrik

7 Pakaian itu bukan untuk bermegah2,menunjuk2(syuhrah) atau berhias2 (bertabarruj)

Maksud pakaian syuhrah ialah pakaian yang membezakan si pemakai dari manusia lain dari segi warna, bentuk dan coraknya. Dengan sebab itu semua mata tertumpu kepadanya lalu timbul perasaan bangga dan megah di dalam hatinya.


Ibn Umar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah pakaikannya pakaian seumpama itu di hari qiamat, kemudian ia disambar api neraka”.

Riwayat Abu Daud

Pakaian syuhrah tidak semestinya yang mahal dan bermutu tinggi. Ia boleh jadi yang murah dan tidak bernilai. Ibn Taimiyyah berkata: ”Pakaian syuhrah yang dilarang ialah yang terlalu mahal mengatasi kebiasaan orang ramai dan yang terlalu murah atau terlalu teruk berbanding kebiasaan orang ramai.


Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An-Nur iaitu

Firman Allah,

Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kahwin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

[ An Nur(24):60]

Dari ayat ini, jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah

Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.”

[ Al-Ahzab (33):33]

Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At-Termizi menjelaskan,

Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya.”

Abul A’la al Maududi berkata:

“Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna-

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak.

"Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina

[Hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

Penutup


Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana rutin harian atau ikut-ikutan. Setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat adalah dibenarkan tanpa menetapkan jenis atau fesyennya.

Allah berfirman:

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup 'auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.

Al A’raf 7:26




No comments:

Post a Comment