Tuesday, January 4, 2011

AKHLAK DALAM ISLAM


Islam merupakan deen yang syumul. Ia bukan hanya memberi penumpuan kepada aqidah dan ibadah tetapi kedua aspek ini merentasi seluruh ruang lingkup kehidupan. Jika kita benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul, maka segala apa yang dibawa Rasulullah saw melalui Al-Quran dan Sunnahnya perlulah dipelajari dan diterapkaan kedalam diri dan kehidupaan kita seboleh mungkin.

“Belum beriman seseorang sehingga aku (Rasulullah saw) lebih dicintainya daripada ayahnya, anak-anaknya dan seluruh manusia”(HR. Bukhari).

Bila cinta meresap ke jiwa,tentulah kita mahu menyenangkan hati orang yang dicintai dengan melakukan apa yang disukainya, tidak melakukan sesuatu yang akan melukakan hatinya dan mahu mencontohi segala amal dan tingkahlakunya kerana sayang dan kagumnya kita kepada yang dicintai.

Oleh itu sebagai mu’min, kita sepatutnya mencontohi juga Rasulullah saw dalam aspek akhlaknya.

Ruang lingkup akhlak Islam adalah luas meliputi segala perbuatan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk selain manusia.

Apa itu akhlak

Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan 'khulq' yang bererti perilaku, perangai atau tabiat

Dari segi istilah, akhlak memberi erti : serumpun nilai-nilai dan sifat-sifat yang sebati di dalam diri seseorang. Menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu."

Dalam kata lain, perbuatan yang kita lakukan lahir dari nilai yang ada dalam diri kita. Ia lahir secara sepontan tanpa perlu kita fikirkan dulu atau kita paksakan diri untuk melakukannya.

Kedudukan Akhlak dalam Islam

Akhlak mempunyai kedudukan yang penting dalam agama Islam

1 Akhlak merupakan salah satu misi Rasulullah saw diutuskan kepada manusia. Ini ditegaskan oleh Rasulullah saw dalam sepotong hadis yang bermaksud :

"Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Hadis riwayat Imam Malik)

Pernyataan Rasulullah itu menunjukkan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam.

2 Akhlak Rasulullah saw dijadikan contoh oleh umatnya, maka baginda dibekalkan Allah dengan akhlak yang sempurna.

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Sesungguhnya engkau seorang yang memiliki peribadi yang agung (mulia)." Al-Qalam:4

Pujian Allah swt terhadap RasulNya dengan akhlak yang mulia menunjukkan betapa besar dan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam. Banyak lagi ayat-ayat dan hadis-hadis Rasulullah saw yang menunjukkan ketinggian kedudukan akhlak yang mulia dan menggalakkan kita supaya berusaha menghiasi jiwa kita dengannya

3 Akhlak tidak dapat dipisahkan dari Islam, sebagaimana dalam sebuah hadith diterangkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : "Wahai Rasulullah, apakah itu agama?" Rasulullah menjawab : "Akhlak yang baik."

4 Akhlak mulia merupakan manifestasi keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik akhlaknya."

5 Akhlak menentukan kedudukan seseorang di akhirat nanti yang mana akhlak yang baik dapat memberatkan timbangan amalan yang baik. Begitulah juga sebaliknya. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun timbangan melainkan akhlak yang baik."

6 Akhlak yang baik dapat menghapuskan dosa manakala akhlak yang buruk boleh merosakkan pahala. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Akhlak yang baik mencairkan dosa seperti air mencairkan ais (salji) dan akhlak yang buruk merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu."

7 Akhlak yang baik dapat menghindarkan seseorang itu daripada neraka sebaliknya akhlak yang buruk menyebabkan seseorang itu jauh dari syurga. Sebuah hadith menerangkan bahawa, "Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangganya dengan perkataannya. Baginda bersabda : tidak ada kebaikan dalam ibadahnya, dia adalah ahli neraka."

Cara-cara Memperbaiki Akhlak

Akhlak adalah sesuatu perilaku yang boleh diubah dan dibentuk, contohnya Saidina Umar al-Khattab, sebagaimana keadaan beliau semasa berada di zaman jahiliyyah berbanding keadaannya sesudah memeluk agama Islam. Dari sini dapat disimpulkan bahawa akhlak merupakan sesuatu yang semulajadi tetapi ianya boleh dan perlu dibentuk. Terdapat beberapa cara untuk membentuk dan membina akhlak mulia. Antara cara-cara itu ialah melalui :

  • Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa. Itikad kita tentang adanya Allah yang Maha Mengetahui,yang tidak terlepas pandang akan segala perbuatan zahir dan batin kita akan mendorong kita untuk membentuk akhlak sesuai dengan keinginanNya. Beriman pada hari akhirat dan adanya pembalasan akan membuat kita lebih peka pada tingkahlaku yang patut ada pada kita atau yang mana perlu dikikis bersih.
  • Mengawal pancaindera daripada melihat atau mendengar perkara-perkara yang membangkitkan atau menguatkan syahwat dan hawa nafsu yang menjadi punca segala sifat buruk dan keji.
  • Menambah ilmu yakni mengetahui jenis-jenis akhlak yang mulia (mahmudah) dan keji (mazmumah). Tanpa ilmu Muslim tidak akan dapat membezakan antara akhlak yang baik dan buruk. Akhlak dari neraca Islam mungkin berbeza dari penilaian manusia yang sering didorong oleh hawa nafsu atau kecetekan akal.Mempelajari huraian atau penjelasan al-Quran dan Hadis serta penafsirannya oleh para ulama mengenai akhlak terpuji akan memastikan kita berada dilandasan yang betul..
  • Melatih diri dengan membiasakan ibadah-ibadah yang fardhu dan sunat, kerana ibadat-ibadat ini dapat mentazkiahkan (membersihkan) diri. Antara fungsi ibadah dapat dilihat dari firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 :
    “Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari kejahatan dan kemungkaran”
    Firman Allah lagi dalam surah At-Taubah ayat 104 :
    “Ambillah dari harta mereka itu sedekah yang dapat membersih dan menyucikan mereka”. Begitu juga dengan pensyariatan ibadat-ibadat yang lain, ada matlamat dan tujuannya dalam membina iman dan akhlak.
  • Memaksa diri melakukan sesuatu sifat yang dikehendaki, hinggalah sifat tersebut menjadi sebati dengan diri kita
  • Bergaul dengan orang-orang mukmin yang berakhlak mulia. Pergaulan ini akan dapat menularkan sifat-sifat mereka yang mulia itu sedikit demi sedikit. Rasulullah telah bersabda :
    “Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang beriman dan makanan kamu janganlah di makan kecuali oleh orang yang bertakwa”

Pengajaran dari sebuah hadis

"Berkawanlah dengan penjual minyak wangi, paling tidakpun, tercalit sama bau wangi pada kita.. Tapi kalau berkawan dengan penempa besi, pasti badan kita berbau besi dan baju kita pun akan cacat kesan dari percikan api sewaktu besi itu ditempa"

  • Meninggalkan suasana yang telah rosak akhlaknya dan mencampuri suasana atau jamaah yang soleh. Jika keadaan tidak memungkinkan penghijrahan secara fizikal, maka hijrahkan perasaan kita dari masyarakat yang telah rosak itu di samping berusaha mendampingi jamaah-jamaah yang baik akhlaknya. Ingat tak lagi kisah pembunuh yang telah membunuh 100 nyawa dan mahu bertaubat?
  • Mempelajari kehidupan para nabi, sahabat, ulama atau auliya dan menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
  • Dalam segala tindak tanduk kita hendaklah sentiasa mengikuti dan menggunakan akal fikiran dan janganlah mengikut perut dan hawa nafsu kita.
  • Melatih diri menerima nasihat orang. Ketepikaan ego kita, dengar apa yang ditegurnya.Pada hakikatnya orang yang memberi nasihat berhak menerima terima kasih kita, kerana kita selalunya berterima kasih kepada orang yang menyelamatkan kita dari bahaya. Demikianlah juga orang yang memberi nasihat telah cuba menyelamatkan kita dari bahaya keburukan akhlak yang kita lakukan.

  • Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah swt agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini

Halangan dalam Pembentukan Akhlak Mulia

a) Nafsu

Nafsu adalah anugerah Allah swt kepada manusia. Nafsu selalu mendorong kita untuk melakukaan sesuatu yang menyenang dan menyeronokkan kita. Nafsu tidak mengenal halal atau haram. Jadi kitalah yang perlu berusaha untuk mengawalnya dengan ilmu dan iman dan bukannya kita dikawal nafsu. Seandainya nafsu tidak dapat dikawal, sudah pasti boleh menghilangkan maruah diri, agama dan nilai budaya sesebuah masyarakat dan membawa kepada kemungkaran sebagaimana berlaku dalam masyarakat kini.

b) Syaitan

Satu lagi musuh ghaib yang sentiasa mendampingi manusia dengan memperalatkan nafsu manusia iaitu syaitan. Fungsi syaitan adalah sebagai agen perosak akhlak manusia berlaku sejak Nabi Adam a.s. dan berterusan hingga ke hari kiamat.

c)Persekitaran

Faktor persekitaran banyak mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Antaranya ialah :

  • Individu yang hidup dalam keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup yang berakhlak, maka jiwanya akan terdidik dengan tingkah laku, tutur kata dan gaya hidup yang tidak baik.
  • Kehadiran teknologi canggih dalam media massa sama ada bercetak atau elektronik juga sedikit sebanyak memberi kesan dalam pembentukan akhlak seseorang iaitu melalui adegan-adegan ganas dan berunsur seks yang boleh merosakkan jiwa mereka.
  • Pengaruh rakan sebaya dan masyarakat sekeliling juga merupakan faktor yang membentuk keperibadian dan akhlak seperti tingkah laku, tutur kata dan cara bertindak.
  • Permasalahan keluarga yang melibatkan ibu bapa contohnya pergaduhan dan perceraian boleh membawa kepada permasalahan sosial seperti lari dari rumah, menyertai rakan sebaya mahupun kumpulan yang rosak akhlaknya sehingga membawa kepada pergaulan bebas, perzinaan, pengambilan dadah, pelacuran (bohsia) dan seumpamanya.
  • Budaya masyarakat yang cenderung ke arah liberalisme juga membawa masyarakat kini mudah terjebak dengan budaya rock, rap, lepak, black metal dan seumpamanya.

Kesimpulannya, untuk menempa kejayaan dunia dan akhirat kita perlu berusaha untuk memiliki akhlak yang terpuji

Firman Allah dalam surah Asy-Syams ayat 9:
“Telah berjaya orang yang telah membersihkannya (jiwa) dan telah rugilah orang yang mencemarkannya”.

Namun, jalan menuju kepada matlamat ini dipenuhi dengan perbagai halangan dan godaan. Berusahalah dan jangan putus harap dari rahmat dan pertolongan Allah

Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 :
“Dan mereka yang berjihad pada (jalan) kami, kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami” Itulah janji Allah, dan Allah tidak akan mungkin janji.

No comments:

Post a Comment